Entry: [6]ii Suatu Hari di Bulan Puasa... Monday, August 06, 2012





Antara padi jangan semantung,
      
Di situ sorak, abang tukarkan;

Antara hati dengan jantung,

     
Di situ adik, abang tinggalkan.


[2]

FARHANA sedang berkebun pagi Ahad itu apabila tiba-tiba loceng pagar rumahnya berbunyi. Di luar, seorang lelaki dengan Peugeot 406 hitam sedang berdiri tegak di pintu. Walaupun kulit lelaki itu agak coklat bekas sambar panas tetapi wajahnya disulami senyum yang manis. Di tangannya ada dua beg plastik penuh berisi beberapa buah buku yang tebal dan sederhana tebal.

         Farhana menghendap. Jurujual?

"Ya," kata Farhana setelah menjawab salam lelaki bersopan santun itu.

"Saya cari Dr. Farhana Abu Bakar." Katanya di luar pagar.

"Ya, saya."

Farhana belum berani membuka pintu pagar. Mana tahu, harap ke wajah kacak manis tapi sebenarnya pembunuh upahan ke, perompak ke... zaman sekarang ni bukan boleh kira. Farhana kemudiannya beristighfar dalam hati apabila lelaki itu berkata, "Saya Kamal, suami arwah Seera Ashiqin binti Ahmad Basheer."

Amboi, maklumat dia mengalahkan wartawan melaporkan beritalah pula. Sejurus itu, Farhana sudah boleh tersenyum senang.

Alhamdulillah, doanya sudah makbul dalam bulan puasa ini.

"Sekejap ya, saya buka pintu pagar."

Farhana cepat-cepat ke dalam, memberitahu Ilham yang dia ada tetamu. Ilham sekarang ni sensitif sikit, pagi semalam Farhana sudah ditegurnya kerana berdua-duaan dengan Imran di dapur. 'Tegur' dalam luahan 'buku komunikasi' mereka jilid yang ke berapa entah. Yalah, walau sudah bertahun jadi suami isteri, di dalam 'buku komunikasi' itu sahajalah mereka bercakap secara jujur dan berterus terang.

Pengecut!

Malas Farhana hendak membela diri, raya-raya nanti dia mintalah ampun kerana melukakan hati Sang Suami. Padahal kan... ada Najaah sedang tidur di sofa, siap ada lintas langsung solat tarawih dalam TV lagi � takkanlah Imran tu nak mengurat Farhana pula. Tak senonoh betul jalan fikiran Ilham sekarang ini!

Betul, Farhana tahu dia dengan Imran tetap ada batas hijabnya � mereka bukan muhrim. Tapi Imran tu duduk 'sebatu' jauhnya dari Farhana. Gunalah fikiran yang sihat sikit, Ilham! Awak tu doktor gigi bukannya tak berpelajaran!

Farhana menekan remote controller untuk membuka pagar kayu rumah tiga tingkat pemberian Imran untuk Ilham-Farhana sempena perkahwinan mereka dulu. Rumah itu semakin cantik dengan sentuhan gaya hias Farhana, lebih-lebih lagi pada kebun bunganya di laman depan ini.

"Masuklah." Jemput Farhana.

Muka Farhana sedikit berpeluh kerana sejak tadi dia sedang mengembur tanah untuk ditanam bunga melur yang baharu di tepi kamar membaca bawah -- ruang kerja Farhana. Dia suka bunga melur kerana bunga melur itu... bunga kesukaan arwah ibunya. Bunga melur mengingatkannya pada ibunya yang sangat menyayanginya.

"Saya minta maaf, baru sekarang ada masa hendak jumpa. Saya ke Fakulti dua minggu lalu, mereka kata Dr. Farhana sudah lama berhenti, dan saya minta alamat rumah Dr. ini pun tanpa izin. Minta maaf ya, sebab mengganggu sampai ke rumah pula ni." Kamal meletakkan dua buah beg plastik buku di atas meja, selepas dia habis berkata-kata dengan wajah bersalah.

"Ya, saya dah benarkan kerani di situ beri alamat saya pada sesiapapun. Jangan rasa bersalah."

Kamal sudah boleh tersenyum. Lega dia disambut baik oleh tuan rumah. Padanlah Seera sangat menyenangi penyelianya ini. Seera selalu bercerita yang baik-baik sahaja fasal Dr. Farhana apabila Kamal-Seera sudah masuk dalam 'zon damai' suatu waktu dahulu.

"Duduklah."

Ilham pula sudah melangkah masuk ke ruang tempat Farhana dan Kamal sedang berbual. Farhana menyambutnya dengan senyum lebar. Dia injak sedikit, memberi ruang pada Ilham untuk duduk di sebelahnya.

"Kenalkan, suami saya. Ilham."

Kedua-dua lelaki itu saling berjabat tangan � berdiri kaku; sebelum duduk.

Ilham tu kadang-kadang cemburu tak bertempat. Mengada-ngada! Macamlah isterinya itu segak jelita sangat sehinggakan siapa yang pandang terus jatuh hati pada Farhana saat itu juga. Sedarlah wahai Ilham, selain Imran dan Masri... tak mungkin ada lelaki yang mahukan perempuan yang tidak sempurna seperti Anah ni. Perempuan yang telah kehilangan 'identiti' keperempuanannya....

Lagi pula Ilham, Masri dan Imran tu sudah pun angkat bendera putih menyerah kalah, tidak akan memilih Anah, kan? Tetapi, yalah... kadang-kadang seronok juga ya kalau ada yang rasa kita ini penting dan berharga, cemburu kan tanda sayang...?

"Saya datang ni, fasal surat yang Dr. kirim dulu tu. Maaf sekali lagi, lama sungguh baru saya dapat ke mari." Kata Kamal.

Kesal.

Lambat sungguh dia pulangkan buku-buku ini. Rasa tidak kena pula kalau tidak pulang elok-elok pada tuannya, dan minta halalkan apa-apa yang Seera sudah buat atau pinjam pada penyelia disertasinya ini dulu.

"Ini saya pulangkan, buku-buku yang arwah pinjam. Ada lima semuanya. Saya minta maaf sekali lagi, sampai tiga kali surat Dr. saya terima, tapi saya masih berlengah nak jumpa. Saya juga minta maaf kalau ada apa yang Seera buat salah dan silap. Harap-harap arwah tidak berhutang apa-apa lagi." Seera sebelum 'pergi', dia sudah pun pesan suruh Kamal pulangkan buku-buku Dr. Farhana. Itu pun Kamal masih nak lengah-lengahkan. Katanya dia sayang sangat pada isterinya itu. Sedikit sangat permintaan Seera... itu pun dia bertagak-tagak.

Sebenarnya, Kamal tidak suka datang ke KL. Sebenarnya, Kamal tidak mahu jauh daripada Seeranya -- setiap kali solat waktu, dia mahu singgah dan ada di 'sisi' Seera. Dia suka menghidu harum mawar merah yang sudah mula berkembang lagi di pusara isterinya itu. Padanya, baca al-Fatihah mahupun surah Yasin dari jauh belum mencukupi.... 

Farhana memandang buku-buku di atas meja yang Kamal keluarkan dan pamerkan atas meja kopi. Buku-buku itu terjaga elok. Fasal itu, Kamal tidak risau. Dia jaga harta Dr. Farhana dengan baik.

Ilham pula sudah boleh tersenyum lega. Oh, bukan fasal apa-apa. Sejak akhir-akhir ini dia bimbang isterinya 'dilarikan' orang. Ini penyakit kronik Nombor 13, apabila seorang suami tidak tahu sama ada dia disayangi isterinya atau tidak, sebab isterinya berkahwin bukan atas dasar cinta! Farhana memilihnya dulu hanya kerana bersimpati pada anak-anaknya dengan arwah Dalilah sahaja.

 "Oh, tu la... tapi bukan fasal buku-buku yang Seera pinjam tu sebenarnya, kalau Kamal tak pulangkan pun saya halal dah. Sebab arwah dah tak ada."

Kamal jadi hairan dengan kata-kata wanita di depannya pada saat ini.

"Sebenarnya ada yang Seera tinggalkan, dan saya boleh pos pun... tapi apabila Kamal tak jawab surat dan balas telefon saya, saya ingatkan, Kamal sudah pindah."

"Mungkin nombor lama rasanya." Ya, dia tukar nombor baharu sebab Seera cemburu apabila dia diganggu oleh gadis-gadis peminat Kamal yang ada segudang jumlahnya itu, kononlah...

Farhana tersenyum.

"... dah lama saya simpan. Saya lebih suka beri sendiri... sebab ini amanah. Sayangnya, saya tak ada nombor atau alamat lain, kecuali kepunyaan Kamal." kata Farhana sambil mencari kunci untuk membuka almari kerjanya.

Meja dan ruang kerja Farhana menghadap ke arah kebunnya yang cantik itu. Di sinilah setiap pagi dia menulis dan membaca, kalau dia tidak memberi tenaga pada kumpulan kanak-kanak yang senasib dengan Nuha di rumah ini. Di sinilah setiap petang dan malam, anak-anak membuat kerja-kerja rumah. Farhana dan Ilham mengambil masa untuk membantu anak-anak belajar. Mereka tidak suka menghantar anak-anak ke kelas tuisyen seperti orang. Sambil mengajar, mereka belajar mendekati hati anak-anak juga.

"Oh."

"Dan, dia juga suruh saya pesan pada Kamal supaya sampaikan pada Affan dan Fattah. Katanya, mungkin tak ada siapa yang perasan fasal buku ini di kedai, jika dia sudah tidak ada nanti." Farhana mengeluarkan tiga buah buku � Unsur Linguistik pada Warna Budaya di Nusantara.

"Oh." Fattah?

"Buku ini, Seera tulis rentetan daripada disertasinya. Saya yang sunting semula, setelah terpilih untuk diterbitkan. Sangat menarik! Sayangnya, bukunya lambat terbit, dan sudah suratan... Seera pergi dahulu." Farhana berhenti sekejap, menahan sebak di dada.

"... semua royalti masih pada penerbit. Sudah bertahun, tak tahu saya banyak mana. Rasanya buku ini... tiada ulang cetak. Buku ini entah laku ke tidak... saya tidak pasti. Buku ilmiah di Malaysia ni, tak sama sifatnya macam novel yang sungguh laris. Err, tapi... insya-Allah nanti saya suruh penerbit hubungi Kamal sendiri, ya." Farhana menghabiskan ceritanya itu. Kenapa pula dia berleter fasal buku tak laku di depan Kamallah pula?

Farhana agak rapat juga dengan Seera berbanding pelajar seliaannya yang lain. Cuma Seera tidak pernah bercerita yang dia sudah berkahwin. Cuma Seera pernah e-mel untuk letakkan dedikasi pada buku yang mereka usahakan bersama itu pada saat-saat akhir manuskrip sedang disunting. Waktu itulah dia tahu Seera itu isteri orang. Yalah, muka dia agak polos dan agak remaja daripada usia sebenarnya.

Sebelumnya itu, Seera pernah bercerita fasal penyakit leukemianya. Dan Farhana juga bertukar cerita fasal sakit barah payudaranya juga. Tetapi dia tidak sangka Seera pergi selekas itu. Apabila Seera tidak hadir ke majlis pengijazahan dan dalam buku senarai graduan pula dicatatkan Seera tidak hadir � * (maksudnya, meninggal)... tahulah Farhana yang Seera sudah tidak ada.

Kini, Farhana sudah boleh tersenyum lega. Susah simpan amanah orang ni. Dia selalu berdoa untuk dapat jumpa suami arwah Seera ni, atau mana-mana ahli keluarga Seera untuk serahkan semuanya ini.

Hari ni segala yang terbeban, sudah pun pergi! Alhamdulillah.

Kamal mengambil ketiga-tiga buku berlatarkan warna ungu itu daripada Farhana. Dibukanya sebuah, dan di depannya tertera:

Putih melur untuk Dr. Farhana yang menyebarkan 'warna' dan 'harum' pada anak bangsa. Terima kasih kerana mencetuskan idea serta sudi jadi editor untuk buku ini. 

Warna hijau laut untuk abah dan emak, terima kasih kerana sentiasa sayang Seera dan didik Seera untuk menjadi seorang Muslimah.

Warna ungu duka untuk Affan dan Fattah, terima kasih kerana telah menjadi 'abang' dan 'sahabat' baik Seera selama ini.

Tujuh warna pelangi untuk Kak Kalthom, Waheeda, Ameer dan Auni: rebutlah hidup yang indah ini. 

Dan teristimewa,
Warna biru... untuk suami saya, Kamal Hanif Khusyairi yang memberi ruang dan waktu untuk saya. Terima kasih.

            Kamal sudah boleh tersenyum. Melihat nama Fattah sekadar 'abang' dan 'sahabat' tertera di situ, dia rasa terharu sangat. Ya, ungu warna duka... untuk Fattah; tetapi Seera tinggalkan biru warna cinta untuknya! Kalau hatinya sudah terisi penuh dengan cinta untuk Seera, tidak mungkin ada cinta lain dapat menyusup lagi, kan? Sudah tidak muat!

"Terima kasih, Dr."

Ilham masih diam di sebelah Farhana, dia rasa bersalah sangat menegur isterinya fasal peristiwa empat hari yang lalu itu. Nanti dia akan tulis dalam 'buku komunikasi' mereka. Dia mahu minta maaf sungguh-sungguh.

Dia memang tidak pandai berterima kasih pada isterinya yang banyak berkorban itu. Itu yang Imran tegurnya bulan lalu. Kata Abang Imran, tempat Farhana ialah di dewan kuliah berkongsi ilmu dengan pelajar dan rakan-rakan sejawatnya. Tugas Farhana ialah menjalankan penyelidikan dalam bidang yang dia mahir! Dalam keadaan kini... pensyarah di universiti ramai yang muda-muda tak ada pengalaman; tak cukup ilmu untuk mengajar; sayangnya kalau Farhana si mutiara yang berharga itu duduk di rumah jadi 'kuli' Ilham anak-beranak.

Hesy, Abang Imran bukan main lagi!

Membesarkan anak-anak mereka yang ramai itu boleh sahaja Ilham upah orang, dan kemudian pantau dan beri masa yang kualiti sahaja. Itu pesan Abang Imran di depan emak mereka di rumah Idayu. Hari itu Farhana sakit, dan tidak sama-sama ikut mereka beramai-ramai makan-makan sebelum puasa. Emak buat tahlil untuk ayah di rumah Idayu hari tu.

Hmmm... 

Emak dan Idayu pun setuju dengan kata-kata Abang Imran. Abang Imran tu macam profesor serba tahu fasal isteri Ilham pula, itu yang Ilham tak suka.

"Tapi Farhana suka! Bukan Ilham paksa dia pun. Dia yang pilih untuk tidak bekerja." Ilham membela diri.

Tambah emak pula, pernahkah Farhana bermasam muka selama ini? Dia tu jenis perempuan taat... apa-apa dia tak suka dia akan memendam rasa. Dengarlah cakap emak kalau Ilham betul-betul sayang dekat Farhana. Emak bagai mengugut pula, Abang Imran sudah ada geng la tu.

"Buatnya kalau Kak Anah lari macam dulu bawa diri... kali ni sampai ke Alaska pula, macam mana?" Idayu cuba menakut-nakutkannya. Lalu jadilah dia Dr. Ilham yang dapat penyakit kronik hati, Nombor 13 -- takut pada bayang-bayang sendiri!

Perbualan hari itu memang berbekas dalam hati Ilham. Dia ingin minta maaf pada Farhana untuk banyak perkara. Dan, sebenarnya dia sudah pun beli hadiah tanda minta maaf pun. Menunggu waktu untuk beri sahaja!

Boleh tak terus beri, dan terus minta maaf!!!

Aiyaa... mengapa la lelaki Melayu susah sangat hendak minta maaf apabila sudah melakukan kesalahan?

Catatan:

ps: Seera tidak hadir � * (maksudnya, meninggal) -- siapa ingat istilahnya apa? Kaksu dah lupa :(

Suatu Hari di Bulan Puasa... [7]
        'Untold Story'

 mentari curahlah warna orenmu

"IMRAN ajak berbuka rumah adik dia esok, Durrah ikut ya."

Ungku Durrah memerhati Haiqal Haji Hambali dengan pelbagai rasa, dia sebenarnya tidak suka ikut Haiqal ke majlis-majlis rasmi Haiqal dengan alasan dia tak reti campur dengan kawan-kawan Haiqal yang pandai-pandai semuanya. Tapi Abang Imran ni, rakan perniagaan Haiqal. Malah pernah jadi rakan serumah Haiqal pula. Lalu, untuk menolak Durrah rasa tidak patut; tidak wajar!

Mata Durrah cepat saja beralih ke arah anak mereka di dalam buai... hmmm, hendak cari alasan apa?

 Hafa Haiqal sudah pun sembuh daripada selesema... jadi alasan apa yang dia harus beri lagi untuk menolak pelawaan Abang Imran yang baik tu? Ini sudah kali kedua, bukan?

"Ya ikut." Durrah mengalah, akhirnya.

"Abang ambil Durrah dan Hafa pukul lima ya, rumah adiknya dekat Sungai Buloh, dekat sahaja kalau ikut tol nanti."

"Nak bawa apa?" sambung Haiqal lagi, sambil menggantikan kemeja ofis dengan baju-T putih dengan seluar trek. 


   13 comments

Noor Hidayah Johari
September 11, 2014   09:09 PM PDT
 
Dlm buku graduasi USM graduan yg dah meninggal disebut 'anumerta'
siti
September 11, 2012   08:26 PM PDT
 
Saya suka semua cerita yg kak su tulis. Ada nilai mahalnya yg tersendiri. Banyak pula simpan mesej baik2 n selalunya tiap kali baca, saya simpan niat menggebu dlm hati nak jadi isteri yg baik mcm dlm cerita2 kak su.
iejay
August 13, 2012   06:41 PM PDT
 
Zeehan..

Maaf ya.. Abg kamal iejay dah chup sejak azali.. Betulkan kak su.. Abg kamal je sampai la ni x mau dekat iejay.. Huhu..

P/s: imran tu masih bujang trang tang-tang kan? Arkitek pula lagi kan.. Kalau abg kamal asyik masih mengenang sejarah lalu.. Iejay nak ngorat imranlah pula.. Boleh kan kak su? Ahaks...
mutiara
August 8, 2012   09:52 AM PDT
 
Assalamualaikum Puan Su,

Alhamdulillah, terisi rasanya saya bila membaca di sini..

oh. warna ungu itu warna duka ya?

saya suka ungu :)
Ryn
August 8, 2012   05:21 AM PDT
 
Menitis airmata subuh2 ni baca pesanan Seera
Azizah Mustaffa
August 7, 2012   04:19 PM PDT
 
terharunya dengan dedikasi seera....
Susahkan nak telah hati orang walaun isteri sendiri...macam Ilham yang dpt penyakit hati sebab dia x pasti farhana sayang dia atau tidak...
Syuk
August 7, 2012   08:54 AM PDT
 
Rindunya pada Seera...Thanks for the update kak Su
zeehan
August 6, 2012   09:42 PM PDT
 
masih tak suka pada ilham...masih ada simpati pada kamal....saya boleh jadi pengganti seera tak, kak su?...
Wan_Amalyn
August 6, 2012   08:52 PM PDT
 
kaksu....

:) hehehe cute pulak ilham yang takut pada bayang2 sendiri... itu tandanya dia sayangkan isterinya sungguh-sungguh!

Huhuhu rindu pada seera bagaikan tak pernah padam... :(
notie
August 6, 2012   08:02 PM PDT
 
oh warna biru itu warna cinta ya..... huhuhu i like ... tapi kamal pass kat iejay dan nacha ler.... saya tunggu hadi

BUC memang tangkap syahdu kalau membacanya. Wah macam kena punggah buku2 kaksu yang dolu2 ler nampak gayanya. Buat peneman sambil mengunyah dodol raya
~KB~
August 6, 2012   06:58 PM PDT
 
Kak Su...
Mungkinkah perkataan yang dicari: Posthumus?
wan empok
August 6, 2012   02:32 PM PDT
 
Sayunya baca dedikasi Seera. Uwaaa!
Suka cerita sambung-sambung ni. Apa kata bukukan terus? :D
aHaDa
August 6, 2012   01:32 PM PDT
 
Kaksu, jadi rindu sangat pada Seera...
Rindu pada waktu dulu2 juga....

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments